TEKS UCAPAN PENUH : (Ucapan Tn. Pengetua)
Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia
Yang Dimuliakan Pengerusi Majlis,
Yang Berusaha
,.........................................................................
Yang Dihormati, En. Abdul Rashid bin Ahmad
, Yang Dipertua PIBG, SMKTM
Yang Berusaha , Barisan Penolong Kanan
SMKT,
Guru-guru dan pelajar-pelajar yang
diraikan sekalian.
Bersyukur kita kerana pada pagi yang mulia
ini dapat kita bersama-sama
menghadiri “Majlis Anugerah Cemerlang”,
SMK Tengku Menteri bagi tahun 2010. Terlebih dahulu saya ingin
mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian tuan dan puan menghadiri majlis yang gilang-gemilang ini. Majlis seperti ini amat baik dijadikan
sebagai acara tahunan kerana dapat memberi
pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang
dalam bidang akademik . Selain memberi pengiktirafan, majlis ini juga turut
akan menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk meningkatkan
pencapaian masing-masing.
Tuan-tuan dan puan sekalian,
Abad ke- 21 ini telah menjanjikan pelbagai
kemungkinan kepada kita. Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
melahirkan fenomena globalisasi, “Dunia Tanpa Sempadan”. Untuk menikmati
kejayaan berterusan dalam persekitaran globalisasi yang mencabar ini, kita
perlu menyedia dan melengkapkan diri para pelajar dengan pelbagai ilmu
pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika
secara berterusan dalam usaha untuk mempertingkat keupayaan generasi muda bagi menangani
perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan.
Tuan-tuan dan puan sekalian ,
Memperkasakan pelbagai ilmu pengetahuan,
kebolehan berkomunikasi terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan penerapan
pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar-pelajar menjadi wadah dan agenda utama
bagi sesebuah sekolah. Walau bagaimanapun, penguasaan ilmu dan berketrampilan
sahaja tidak mencukupi seandainya faktor nilai -nilai murni tidak dijadikan
pedoman. Nilai-nilai agama dan moral inilah yang akan memberi petunjuk dan
pedoman kerana terkandung nilai yang
baik untuk generasi muda menempuh kehidupan yang penuh cabaran.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Pembangunan modal insan ini perlu
dirancang teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh dan bersepadu. Segala bakat
dan potensi para pelajar dapat dibangunkan dengan efektif. Dengan ini, SMK Tengku
Menteri akan dapat melahirkan generasi
pewaris kepemimpinan negara yang memiliki idealisme, mencakupi pelbagai rutin
kehidupan, berketrampilan dalam pelbagai bidang, kritis dan kreatif sekali gus konstruktif.
Hal ini sejajar dengan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) Januari,2007.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian ,
Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang
hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang
seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual,
mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketrampilan, patriotik dan tidak
bersikap individualistik malah mampu memainkan peranan dalam masyarakat. Usaha
ini selaras apabila dua daripada enam teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
iaitu, Membina Negara Bangsa dan
Membangunkan Modal Insan diberikan perhatian . PIPP juga merupakan wadah
terbaik sebagai anjakan paradigma sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih
cemerlang pada peringkat tempatan dan global, sekali gus sebagai pemangkin
kepada wawasan kerajaan untuk mencapai status
negara maju menjelang 2020.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Dengan adanya afiliasi mantap antara pihak
sekolah dengan pihak ibu bapa akan menjadikan SMK Tengku Menteri lebih beraspirasi untuk meningkatkan
pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar agar terus cemerlang serta dapat
meningkatkan penglibatan dan rasa kepunyaan ibu bapa serta komuniti terhadap
sekolah ini. Hubungan rapat dan mesra ini akan meningkatkan iklim pembelajaran
yang kondusif yang faedahnya akan
dinikmati oleh para pelajar .
Sidang
dewan yang dimuliakan ,
Akhir sekali, saya mengucapkan
sekalung terima kasih yang tidak terhingga kepada para ibu bapa dan para guru yang telah menunjuk dan memberikan komitmen jitu dalam usaha melonjakkan
“towering personality” pelajar SMKTM .
Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah menunjukkan pencapaian yang
memberangsangkan dalam akademik bagi
tahun 2010. Harapan saya agar sekolah ini akan terus menerobos ,mencipta dan
mengukir kejayaan dalam semua bidang yang sedang dan akan diceburi.
Sekian , terima kasih .
Disediakan oleh ,
Efandi bin Zainuddin