Sunday, December 30, 2012


TEKS UCAPAN PENUH : (Ucapan Tn. Pengetua)

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia

Yang Dimuliakan Pengerusi Majlis,

Yang Berusaha ,.........................................................................

Yang Dihormati, En. Abdul Rashid bin Ahmad , Yang Dipertua PIBG, SMKTM

Yang Berusaha , Barisan Penolong Kanan SMKT,

Guru-guru dan pelajar-pelajar yang diraikan  sekalian.

Bersyukur kita kerana pada pagi yang mulia ini dapat kita    bersama-sama menghadiri   “Majlis Anugerah Cemerlang”,   SMK Tengku Menteri  bagi tahun 2010. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian tuan dan puan  menghadiri majlis  yang gilang-gemilang ini. Majlis  seperti ini  amat  baik  dijadikan  sebagai   acara tahunan kerana dapat memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik . Selain memberi pengiktirafan, majlis ini juga turut akan menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian masing-masing.

Tuan-tuan dan puan sekalian,

Abad ke- 21 ini telah menjanjikan pelbagai kemungkinan kepada kita. Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melahirkan fenomena globalisasi, “Dunia Tanpa Sempadan”. Untuk menikmati kejayaan berterusan dalam persekitaran globalisasi yang mencabar ini, kita perlu menyedia dan melengkapkan diri para pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika secara berterusan dalam usaha untuk mempertingkat  keupayaan generasi muda bagi menangani perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan.


Tuan-tuan dan puan sekalian ,


Memperkasakan pelbagai ilmu pengetahuan, kebolehan berkomunikasi terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan penerapan pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar-pelajar menjadi wadah dan agenda utama bagi sesebuah sekolah. Walau bagaimanapun, penguasaan ilmu dan berketrampilan sahaja tidak mencukupi seandainya faktor nilai -nilai murni tidak dijadikan pedoman. Nilai-nilai agama dan moral inilah yang akan memberi petunjuk dan pedoman kerana  terkandung nilai yang baik untuk generasi muda menempuh kehidupan yang penuh cabaran.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Pembangunan modal insan ini perlu dirancang teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh dan bersepadu. Segala bakat dan potensi para pelajar dapat dibangunkan dengan efektif. Dengan ini, SMK Tengku Menteri  akan dapat melahirkan generasi pewaris kepemimpinan negara yang memiliki idealisme, mencakupi pelbagai rutin kehidupan, berketrampilan dalam pelbagai bidang, kritis dan kreatif sekali gus konstruktif. Hal ini sejajar dengan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)  Januari,2007.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian ,


Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketrampilan, patriotik dan tidak bersikap individualistik malah mampu memainkan peranan dalam masyarakat. Usaha ini selaras apabila dua daripada enam teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan  iaitu, Membina Negara Bangsa dan Membangunkan Modal Insan diberikan perhatian . PIPP juga merupakan wadah terbaik sebagai anjakan paradigma sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih cemerlang pada peringkat tempatan dan global, sekali gus sebagai pemangkin kepada wawasan kerajaan untuk mencapai status
negara maju menjelang 2020.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dengan adanya afiliasi mantap antara pihak sekolah dengan pihak ibu bapa akan menjadikan SMK Tengku Menteri  lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar agar terus cemerlang serta dapat meningkatkan penglibatan dan rasa kepunyaan ibu bapa serta komuniti terhadap sekolah ini. Hubungan rapat dan mesra ini akan meningkatkan iklim pembelajaran yang kondusif yang faedahnya akan
dinikmati oleh para pelajar .


Sidang dewan yang dimuliakan ,


Akhir sekali, saya mengucapkan sekalung  terima kasih  yang tidak terhingga  kepada para ibu bapa dan  para guru  yang telah menunjuk dan memberikan  komitmen jitu dalam usaha melonjakkan “towering personality” pelajar SMKTM  . Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang  telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam akademik  bagi tahun 2010. Harapan saya agar sekolah ini akan terus menerobos ,mencipta dan mengukir kejayaan dalam semua bidang yang sedang dan  akan diceburi.

Sekian , terima kasih .
Disediakan oleh ,
Efandi bin Zainuddin

No comments:

Post a Comment